Tajuk MAJLIS ISTIADAT PEMASYHURAN TOKOH ADAT ISTIADAT SEPANJANG ZAMAN SEMPENA SAMBUTAN HARI ADAT ISTIADAT
Tarikh HARI ISNIN, 29HB., JAMADILAWAL, 1435 HIJRAH 31HB., MAC, 2014 MASIHI
Tempat PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA
Gambar http://www.adat-istiadat.gov.bn/PublishingImages/TitahAI/04.png
Kandungan Titah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Bismillahir Rahmanir Rahim.

ALHAMDULILLAHI Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

 

Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana diizinkan-Nya hadir dalam majlis ini.

Majlis Istiadat Pemasyhuran Tokoh Adat Istiadat Sepanjang Zaman sempena Sambutan Hari Adat Istiadat ini adalah cetusan pemikiran Majlis Mesyuarat Adat Istiadat.

Beta difahamkan Majlis Mesyuarat Adat Istiadat telah menimbangkan dengan penuh teliti signifikannya memasyhurkan seorang tokoh adat istiadat, apa lagi bagi mengenang jasa individu yang sudah tiada bersama kita.

Beta menyambut dan menghargai sokongan Majlis Mesyuarat Adat Istiadat memilih tokoh adat istiadat bagi dijadikan asas dan puncak mercu tanda adat istiadat negara. Beta memahami dan dengan penuh yakin mengakui bahawa mercu tanda gemilang adat istiadat kita adalah Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien.

Makanya jasa Al-Marhum itu sentiasa dikenang dan ketokohan Baginda sedia dijulang. Bukan baru sekarang.

Sejarah menjadi bukti bahawa Al-Marhum adalah Raja yang membawa Negara Brunei Darussalam ke arus modenisasinya. Al-Marhum menerajukan bahtera Brunei moden dengan mengajak sama seluruh rakyat jelata ke dalamnya.

Sejarah menjadi saksi, bahawa Al-Marhum telah berusaha gigih menjadikan rakyat berpendidikan sambil menikmati kesejahteraan.

Al-Marhum memimpin rakyat menuju matlamat hidup yang mulia dengan berpegang teguh kepada ajaran ugama Islam. Dengan pegangan teguh kepada ajaran ugama Islam, Al-Marhum mengadakan pembaharuan adat istiadat negara dengan mengikut landasan adat berasaskan hukum, dan hukum bersendikan syara’.

Dengan berkat kepimpinan Al-Marhum yang bijaksana lagi berwibawa dalam mengadakan pembaharuan adat, kita sekarang mewarisi adat istiadat Brunei yang cantik lagi dinamik.

Dan dengan menjadikan adat istiadat itu dinamik dan serasi dalam zaman moden, maka Al-Marhum telah membina Brunei moden, yang kerananya, Al-Marhum dijulang sebagai arkiteknya. Al-Marhum tidak sahaja melakarkan peta jalan menuju masa hadapan yang panjang bahkan Al-Marhum dengan azam yang kuat, teliti lagi berhemah tinggi telah membawa rakyat bernegara dan berpemerintahan beraja yang berasaskan amanah bahawa raja tidak akan zalim dan rakyat pula tidak akan derhaka.

Dengan hubungan erat raja dan rakyat maka Brunei telah dapat mengekalkan adatnya beraja. Untuk mengukuhkan lagi adat itu, Al-Marhum terkenal dengan pegangannya yang kuat bahawa adat boleh diperbaharui dengan tidak menghilangkan keasliannya.

Adat yang diperbaharui itulah yang melahirkan bentuk dan susunan pemerintahan beraja pada masa ini. Raja kekal berdaulat memimpin negara dan memegang tampuk kerajaan.

Raja mempunyai majlis-majlis atau lembaga-lembaga penasihat menurut skop dan fungsinya dengan ahli-ahlinya yang berkelayakan.

Kerajaan yang dipimpin oleh Raja adalah dengan menteri-menterinya. Dan menteri-menteri itu dilantik untuk membantu serta bertanggungjawab kepada Raja, cukup dengan kementerian-kementeriannya dan pegawai-pegawai serta kakitangannya. Maka Raja pun memerintah, bersepadu dengan semua rangkaian pemerintahan bagi membawa rakyat menikmati keamanan, kesejahteraan, kemakmuran dan keselamatan.

Pemerintahan yang berasaskan amanah yang menjalinkan hubungan raja dengan rakyat itulah yang dimaktubkan oleh Al-Marhum ke dalam perlembagaan bertulis yang pertama dalam sejarah yang menjadi asas pemerintahan moden Brunei yang sehingga kini terus kita kembangkan.

Dalam mengembangkan Brunei yang moden itu kita setentunya bukan sahaja mengikut jejak langkah Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien bahkan mengambil iktibar daripada episod-episod pengalaman Al-Marhum yang penuh dengan likuliku serta cabaran yang menjadikan Brunei kekal berdaulat.

Dan pada hari ini, Isnin, 29 haribulan Jamadilawal 1435 hijrah bersamaan dengan 31 haribulan Mac 2014 masihi, kita pilih sempena yang bersejarah dan bersukut baik ini, maka Beta dengan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan dengan bertabarruk serta mohon syafa’at Rasul-Nya, Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, dengan ini memasyhurkan, bahawa Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam sebagai TOKOH ADAT ISTIADAT SEPANJANG ZAMAN. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala sentiasa merahmati roh Al-Marhum dengan menghimpunkan Baginda ke dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh di syurga Jannatun Na’em.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalaamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.