Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksBangunan Lapau

Sebelum terbinanya Bangunan Lapau yang masa kini, terdapat sebuah Bangunan Lapau (Lama) yang didirikan sewaktu zaman pemerintahan Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan Brunei ke-28. Bangunan Lapau (Lama) itu terletak di Pusat Sejarah dan digunakan sebagai salah satu Galeri Pameran Pusat Sejarah Brunei.


Figure 1 Galeri Pameran Pusat Sejarah Brunei yang dahulunya adalah Bangunan Lapau (Lama)


Pada zaman itu, Bangunan Lapau (Lama) tidak lagi dapat menampung keperluan dalam berbagai majlis, baik dari segi tempat duduk yang beristiadat kenegaraan dan sebagainya. Maka pada tahun 1963, satu cadangan telah dibuat untuk membina sebuah bangunan baru bagi Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat Negara dan Jabatan Adat Istiadat Negara serta diteruskan dengan pembinaan Bangunan Lapau (Baru) bagi menggantikan Bangunan Lapau (Lama).


Figure 2 Bangunan Lapau

Cadangan dan idea pembinaan reka bentuk Bangunan Lapau (Baru) tersebut diilhamkan oleh Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Khairi Waddien sendiri, dan segala reka bentuk tersebut dihalusi oleh Arkitek Booty Edwards dan Rakan-Rakan. Kerja-Kerja awal pembinaan Bangunan Lapau bermula pada Ogos 1965 di kawasan Kampong Kianggeh dan ianya siap dibina pada tahun 1968.


Figure 3 Pataratna adalah tempat Sultan bersemayam di Lapau semasa Istiadat Berpuspa atau istiadat lain yang serupa maksud penggunaannya.



Bangunan Lapau digunakan pada waktu-waktu tertentu sahaja, seperti:

i. Istiadat Berpuspa (Istiadat Perpuspaan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 01 Ogos 1968).
ii. Istiadat Mengadap.
iii. Istiadat Penandatangan Kemerdekaan 1979.
iv. Istiadat Mengurniakan Gelaran*.
v. Istiadat Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran.
vi. Istiadat Membuka Naubat*
vii. Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga*.

*Istiadat yang masih diadakan di Bangunan Lapau. Ini adalah disebabkan jumlah bilangan jemputan yang semakin bertambah dan meningkat. Beberapa Istiadat lain telah diadakan di Istana Nurul Iman kerana keluasannya yang mampu menampung bilangan jemputan.

Terdapat 2 majlis yang boleh diadakan di Bangunan Lapau:

i. Majlis duduk di kerusi.
ii. Majlis duduk bersila (hanya digunakan pada masa ini).

Bangunan Lapau mempunyai 2 bahagian:

i. Peningkah Atas.
ii. Peningkat Bawah.



Figure 4 Peningkah Atas

Peningkah Atas (Kanan) hanya dikhaskan untuk Sultan dan Kerabat-Kerabat Diraja, Pengiran-Pengiran Cheteria dan Pengiran-Pengiran Peranakan. Sementara itu, Peningkah Atas (Kiri) hanya dikhaskan untuk Pembesar Kerajaan dan Pehin-Pehin Manteri Berchiri.

Peningkah Bawah (Kanan) dikhaskan untuk Pengiran-Pengiran, Manteri-Manteri Hulubalang, Manteri-Manteri Darat, Penghulu, Ketua Kampong dan Swasta. Peningkat Bawah (Kiri) dikhaskan untuk Duta-Duta, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha Sulit, Timbalan Setiausaha Sulit, Ketua Jabatan dan Pegawai Kanan.​