MahkotaMahkota adalah alat kebesaran Diraja yang dipakai oleh Sultan semasa menjalani Istiadat Berpuspa yang dipakaikan di kepala Sultan oleh Pengiran Bendahara atau Begawan Sultan. Sebelum Istiadat dijalankan, Makhota ini akan ditatang oleh salah seorang Cheteria Empat untuk dibawa masuk ke Lapau atau ke tempat yang disifatkan sedemikian bagi istiadat itu. Mahkota ini mengandungi antara lain Alap, Tajuk Mahkota, Malur Turun dan Tara Mahkota. Kuching EmasKuching Emas adalah alat kebesaran Diraja yang diperbuat daripada emas, badannya berbentuk kuching sedangkan mukanya seperti singa; diletakkan di hadapan persemayaman Sultan semasa Istiadat Berpuspa sebagai lambang kebesaran Diraja dan kemegahan Diraja. Tongkat AjaiTongkat Ajai adalah Alat Kebesaran Diraja yang berbentuk tangan diperbuat daripada emas untuk menjadi penyambut ajai (dagu) Sultan sesudah baginda memakai Mahkota dalam Istiadat Berpuspa. Keris Si NagaKeris Si Naga adalah Keris kebesaran Diraja yang menjadi tanda penyerahan Kerajaan daripada seorang Sultan kepada seorang Sultan. Semasa Istiadat Berpuspa, sebelum disusupkan oleh Pengiran Bendahara di panding Sultan sebelah kanan, keris ini akan ditatang oleh salah seorang Cheteria Empat. Pedang TersulaPedang Tersula adalah pedang kebesaran Diraja yang dikhaskan untuk Istiadat Berpuspa, dipegang oleh seorang Pengiran laki-laki berpakaian istiadat khas yang terdedah dadanya duduk rela menghadap ke arah Patarana, manakala mata Pedang Tersula itu dipegangnya dengan kedua belah tangannya dan hujung pedang itu diletakkan di hulu hatinya. Chogan UgamaChogan Ugama adalah perhiasan yang mempunyai bentuk tertentu, mengandungi gambaran lambang ugama Islam yang menjadi ugama rasmi negara dan perhiasan ini dipasang di Pemanjangan atau di kenaikan yang dikhaskan untuk Sultan sahaja. Chogan IstiadatChogan Istiadat adalah perhiasan yang mempunyai bentuk yang dipasang pada kenaikan atau Pemanjangan sebagai melambangkan kebesaran adat istiadat Diraja. Chogan ini dikhaskan untuk Sultan sahaja. Payong SultanPayong Sultan ini berwarna kuning berkemuncak emas dan berumbai-rumbai dengan buah emas dipakai untuk memayungi Sultan semasa Istiadat Perpuspaan atau Istiadat-Istiadat Diraja. Tombak Perhiasan EmpatTombak Perhiasan Empat ini berkemuncak dan bersarongkan emas dibawa oleh Peranakan Raja-Raja semasa mengiringkan Sultan bagi menghadiri Istiadat Diraja. Perisai Perhiasan EmpatPerisai Perhiasan Empat ini diperbuat daripada emas yang berukiran dengan kalimah daripada emas, dibawa oleh peranakan Raja-Raja yang membawa Pedang Tunggal pada masa mengiringkan Sultan menghadiri Istiadat Diraja. Pedang dan PerisaiEnam belas bilah pedang yang bersampak emas dan perak dan tembaga berserta enam belas buah perisai yang dibawa oleh enam belas orang Awang-Awang. Tombak BenderanganTombak Benderangan adalah tombak kebesaran Diraja sebanyak 16 batang bersampak emas atau perak atau sebagainya, disahan oleh 16 orang Awang-Awang berpakaian istiadat, di bahu kanan. Sinipit dan TamingSinipit dan Taming adalah alat kebesaran Diraja yang dikhaskan sebanyak 40 batang disahankan di bahu kanan berserta 40 buah Taming dipegang dengan tangan kiri oleh 40 orang puak Sakai berpakaian istiadat seperampun merah dalam sesuatu istiadat yang tertentu. Lembing dan TamingLembing dan Taming adalah lembing kebesaran Diraja yang sebanyak lapan batang bersampak emas atau sebagainya disahan di bahu sebelah kanan oleh delapan orang Biduanda Kechil yang berpakaian istiadat, manakala lapan buah Taming dipegang di tangan kiri. ChangkahAlat Kebesaran Diraja yang berupa seakan-akan lembing bermata dua. Di bahagian pangkal kedua-dua matanya yang bersatu itu berbentuk bulatan, manakala penyambungan hujung tatarannya yang bercantum dengan pangkal mata Changkah itu dhiasi dengan ukiran berbentuk sakah-sakah. Alat kebesaran ini dibawa oleh Pateh dan disertai oleh Damong dalam sesuatu istiadat Diraja tertentu seperti Istiadat Berpuspa (bagi Sultan sahaja), keberangkatan atau Perarakan Diraja bagi sesuatu istiadat tertentu seperti Istiadat Perkahwinan atau sebagainya bagi Sultan, putera-puteri Sultan yang gahara atau Wazir. NakaraNakara adalah salah satu alat yang terkandung dalam Naubat. Di antara semua alat-alat Naubat, Nakara yang tertinggi sekali kedudukannya. Sebab itu, ia diletakkan di tempat yang tinggi daripada alat-alat Naubat lain dan semasa membawanya pun diusung di atas kepala oleh Juru (penggual Nakara atau Ketua Pegendang), dan tempat menyimpannya juga diistimewakan daripada yang lain, iaitu diletakkan di atas kaban (peti) Mahkota. Dikatakan juga sahap Nakara ini dibuat daripada kulit Tuma. SerunaiSalah satu alat yang terkandung dalam Naubat. GongSalah satu alat yang terkandung dalam Gendang Jaga-Jaga. ChanangSalah satu alat yang terkandung dalam Gendang Jaga-Jaga. Kelasak dan KampilanKelasak dan Kampilan adalah alat kebesaran Diraja yang menjadi penangkis khas dipegang dengan tangan kanan oleh Panglima Asgar yang berpakaian istiadat seperampun merah, dan tangan kirinya memegang Kampilan, iaitu senjata yang berupa parang, tetapi lebar dan bentuk matanya lurus, serta hujungnya luncit. Pemuras dan KargaPemuras dan Karga adalah alat kebesaran Diraja khas yang berupa senapang besar disahan di bahu kanan oleh Panglima Raja yang berpakaian istiadat seperampun merah, dan sebuah Karga peluru diangkul di bahu kiri dan Karga itu di sebelah kanan. KiapKiap adalah alat kebesaran Diraja yang dikhaskan dalam istiadat tertentu sebanyak dua buah yang digunakan sebagai kipas kepada pihak yang dimaksudkan dalam istiadat itu. Di permukaannya bertulis ayat-ayat suci Al-Quran denan sulaman benang emas dan dibawa oleh dua orang Pahawai laki-laki yang lengkap berpakaian pengantin mengiringi keberangkatan pihak yang dimaksudkan seperti Sultan dalam sesuatu Istiadat Berpuspa atau keberangkatan pengantin Diraja dalam Istiadat Perkahwinan Diraja. PasigupanPasigupan adalah alat kebesaran Diraja yang bentuknya sama seperti Pasigupan Emas, banyaknya dua buah, dikhaskan mengiringi keberangkatan Sultan dalam Istiadat Berpuspa atau keberangkatan pengantin Diraja dalam Istiadat Perkahwinan Diraja, dibawa oleh dua orang Pahawai (kanak-kanak) laki-laki yang lengkap berpakaian pengantin. Puan KerajaanPuan Kerajaan adalah alat kebesaran Diraja yang diperbuat daripada perak atau sebagainya, berupa jambangan bunga dibawa oleh tujuh orang anak laki-laki Cheteria berpakaian istiadat yang berdiri di kiri kanan Patarana semasa Istiadat Berpuspa. Tarian KerajaanTarian Kerajaan adalah alat kebesaran Diraja berupa tempat menyimpan bunga diperbuat daripada perak atau sebagainya, berbentuk lapan persegi dibawa oleh tujuh orang anak laki-laki Cheteria berpakaian Istiadat yang berdiri di kiri kanan Patarana semasa Istiadat Berpuspa. Kabuk dan PanastanKabuk dan Panastan adalah alat kebesaran Diraja merupakan alat tempat menyimpan air (Kabuk) dan lapiknya (Panastan) diperbuat daripada perak atau sebagainya, banyaknya 16 biji dibawa oleh 16 orang Pengiran-Pengiran dalam sesuatu istiadat tertentu seperti Istiadat Berpuspa atau Istiadat Perkahwinan Diraja atau sebagainya. KaskulKaskul adalah celapa tempat makan pinang alat kebesaran Diraja yang dibungkus dengan Kain Jong Sarat atau kain sutera kuning bertabur benang emas dijadikan perhiasan pengiring keberangkatan Sultan, Begawan Sultan, Pengiran Muda Mahkota, Wazir (putera Sultan yang gahara) dan putera puteri Sultan yang gahara ke satu majlis tertentu. Dalam Istiadat Berpuspa ketika keberangkatan Sultan ke Lapau menaiki Usongan, Kaskul ini dipangku oleh Pehin Jawatan Dalam. Manakala Sultan, Raja Isteri, Pengiran Isteri atau isteri-isteri lain kepada Sultan, Begawan Sultan dan Suri Seri Begawan berangkat ke satu majlis istiadat tertentu, Kaskul ini dinamakan Perhiasan Tunggal. Bagi Pengiran Muda Mahkota, Wazir (putera Sultan yang gahara) dan putera puteri Sultan yang gahara, ia dinamakan Perhiasan Empat. Kaskul LangguaiKaskul Langguai adalah alat kebesaran Diraja bentuknya seakan-akan Langguai, delapan persegi di atasnya diisi dengan empat biji anak celapa, dibawa oleh Awang-Awang (sebahagian daripadanya Pahawai Tujuh) yang berpakaian istiadat mengiringi keberangkatan Sultan dalam Istiadat Berpuspa atau istiadat yang tertentu. Kasur NamatKasur Namat adalah dua alat kebesaran yang disatukan, iaitu Kasur merupakan tilam yang diperbuat daripada kain bersarung kuning berbentuk khas yang dianggap sebagai alas duduk persemayaman Sultan atau alas duduk pihak Diraja di dalam sesuatu istiadat tertentu seperti Istiadat Perkahwinan Diraja atau Istiadat Berkhatan Diraja atau sebagainya, tetapi bukan diduduki melainkan diletakkan di satu tempat yang dikhaskan. Dibawa ke dalam majlis oleh Awang-Awang berpakaian istiadat untuk diletakkan di hadapan Patarana atau di tempat yang disifatkan demikian. Sementara itu, Namat merupakan tikar berbentuk khas, bersarung kain yang berlapis sutera kuning bertepi emas yang berukiran atau sulaman tertentu seperti air mulih dan sebagainya yang diletakkan di atas kasur. Dibawa ke dalam majlis oleh Awang-Awang berpakaian istiadat untuk diletakkan di hadapan Patarana atau di tempat yang disifatkan demikian. Bintang PetianBintang Petian adalah kebesaran Diraja, sama juga seperti tikar diangkati kepada orang-orang yang berhak, tetapi diluaskan lagi kepada semua Pembesar Diraja yang berchiri termasuk Pengiran Peranakan semasa hadir di dalam sesuatu majlis duduk bersila, siang atau malam. Lazimnya diperbuat daripada kayu pilihan terbaik, dilarik mengikut bentuk tertentu, merupakan seakan-akan talam kecil (bulat).
Bintang Petian ini diisi dengan sebuah Kandi dan dua biji cawan kecil. Kandi ini berlilit sama ada dengan emas atau perak atau tembaga.
|