Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksTitah Berkaitan Adat Istiadat
Titah Berkaitan Adat Istiadat

  
  
Kandungan Titah
  
  
HARI KHAMIS, 01 REJAB 1387 / 05 OKTOBER 1967

​SA-SUNGGOH-NYA dengan hati yang terharu dan amat2 mengejutkan, Beta menguchapkan shukor ka-hadzrat Allah Subhanahu Wata’ala yang Maha Berkuasa, salawat dan salam ka-atas Nabi Muhammad s.a.w dan sahabat2-nya dan dengan hati yang tulus ikhlas dan puteh berseh lagi hening menjunjong kaseh yang tidak tertinggi kepada Paduka Ayahanda Duli Yang Maha Mulia Sultan Omar Ali Saifuddin, sa-sunggoh-nya walau pun hati Beta sukachita dan terharu kerana pemashhoran ini tetapi rasa sedeh menyayat di-hati atas peristiharan turun dari takhta oleh Paduka Ayahanda yang Beta kasehi dan di-sayangi oleh seluruh lapisan ra’ayat dan pendudok Negeri Brunei Darussalam yang di-chintai ini.


Bahawa sa-sunggoh-nya Beta ini maseh lagi muda apatah lagi mentah dalam segala2-nya, tetapi dengan keperchayaan Paduka Ayahanda dan Ahli2 Majlis Mashuarat Mengangkat Raja serta pembesar2 negara, Pegawai2 Kerajaan, Ra’ayat dan Pendudok Negeri Brunei Darussalam yang di-kasehi ini, dengan idzin Allah dan dengan harapan Beta akan mendapat segala nasihat2 dan pimpinan dari Paduka Ayahanda, maka Beta sa-laku Sultan dengan sa-daya upaya Beta akan berusaha pada menjalankan dasar2 Paduka Ayahanda dan akan sentiasa memelihara keamanan, ketenteraman dan laila usaha bagi kema’amoran negara serta melihara nama baik Negeri Brunei Darussalam juga mementingkan laila usaha dan meninggikan taraf hidup ra’ayat melalui laila ranchangan dan kesejahteraan perkembagan negara yang telah dan sedang di-buat oleh Paduka Ayahanda dahulu, dan mudah2an dengan idzin Allah, Beta juga sentiasa akan menjaga dan memelihara dengan tidak kendor2-nya laila usaha mengenai Ugama Islam yang benar2 dan Adat Istiadat Negeri Brunei.

Oleh itu Beta sentiasa berhadap dan berseru kepada pembesar2 negara, Ahli2 Majlis2 Mashuarat dan seluruh ra’ayat yang di-kasehi akan memberikan laila kerjasama seperti yang telah di-berikan kepada Paduka Ayahanda Beta sa-masa Paduka Ayahanda Beta memerentah di-atas takhta singgahsana dahulu. Terima kasih.”



DI ISTANA DARUL HANA
  
25 RABIULAWAL 1388 / 22 JUN 1968

Alhamdulilllah, peramba - kaola menguchapkan shukor ka-hadzrat Allah, kerana dapat hadzir ka-majlis Kursus bagi Wazir2, Cheteria2 dan Pehin2 termasok Manteri2 pendalaman, dan tidak lupa juga Beta menguchapkan terima kaseh atas ingatan Ahli2 Jawatankuasa Kursus, yang telah menjemput Beta bagi beruchap di-majlis yang permai ini, dan saterus-nya merasmikan Kursus ini.

 

Beta adalah mempunyai perasaan gembira laila menghargai langkah2 yang telah di-usahakan oleh Jabatan Adat Istiadat mengadakan Kursus ini.  Walau pun Kursus ini di-buat dalam masa yang sengkat, akan tetapi Beta penoh perchaya bahawa ia-nya akan banyak membawa kebaikan dan faedah laila munasabah terutama sekali mengenai perkembangan adat istiadat yang di-warithi semenjak beberapa kurun yang silam oleh negara kita Brunei Darul Salam yang di-kasehi ini.  Hal ini bukan sahaja akan membawa keuntongan kapada pembesar2 negara ya'ani peserta2 Kursus, tetapi juga kapada Kerajaan negara yang mengandongi isi atau pelbagai isi dalam-nya.

 

Sabab pun Beta katakan demikian, kerana adalah sejak atau Laila di-terima oleh akal bahawa Kursus ini akan banyak membawa pengalaman serta meninggikan pengetahuan menambahkan laila bentok juntunan kapada sekalian peserta2 Kursus ini, perserta2 Kursus ini adalah terdiri dari orang2 besar negara laila mempunyai tugas-nya sa-memang-nya memfahami di-segi adat istiadat tentu akan dapat pula menyumbangkan pengalaman2 dan pengetahuan2 dengan beralaskan laila peringatan, laila penglihatan dan laila berpandukan laila silah2 atau tersilah mereka mengenai adat istiadat dalam hasil Kursus ini hanya untok pada mempermolekkan, memperektikkan dan memperamalkan sa-hingga mahir bagi ke-elokkan adat istiadat negeri Brunei.

 

Bagi kepentingan Kerajaan dan negeri kita Brunei Darul Salam yang mengandongi ra'ayat dan laila isi dalam-nya, pembesar2 negara hendak-nya-lah atau laila termesti atau afdal mengendalikan laila usaha pada mengikthiarkan kebaikan negeri berkerajaan yang bersultan dalam memahami dan melaksanakan tugas2 dengan balk laila munasabah bagi memelihara adat istiadat yang di-warithi oleh negara ini semenjak turun temurun lagi.  Laila adat istiadat adalah sa-bahagian daripada kebudayaan yang biasa-nya di-amalkan dan menjadi kebanggaan oleh sa-sa-buah negara, lebeh2 lagi negara kita Brunei yang sedia laila subor dengan adat istiadat dan kebudayaan-nya. Apa2 yang merupakan kebudayaan itu adalah terkandong ka-dalam pengertian adap di-peristiadat-kan.  Brunei dalam so'al ini ialah sa-buah negara yang tua, yang chukup indah dalam sejarah-nya mempunyai adat istiadat-nya yang rapus Laila terator.

 

Kapada Beta adalah di-fahamkan, bahawa dalam masa Kerajaan Paduka Ayahnda Beta, sa-buah buku Adat lstiadat telah pun di-terbitkan.  Tetapi dalam buku itu maseh ada sedikit sa-banyak kekurangan-nya.  Jadi Beta perchaya, dengan ada usaha2 yang di-jalankan oleh laila peserta Kursus pada hari ini, semua kekurangan yang kechil tetapi mustahal di-perbetulkan, di-elokkan dan di-tambah, sa-hingga benar2 lengkap tersusun dengan sempurna-nya adat istiadat yang sedemikian.

 

Sunggoh pun bagitu satu perkara yang penting di-ingatkan bahawa dengan mempunyai sa-buah buku yang lengkap sahaja seperti Beta sebut-kan belum-lah memadai.  Tegas-nya, dengan membacha dan ingatan2 sahaja tidak lah boleh membawa kapada perkembangan yang lebeh pada memolekkan adat dalam beristiadat, melainkan ia di-amalkan atau di-perektikkan selalu.  Salah satu chara yang baik bagi pembesar2 negara, ia-lah dengan jalan membanyakkan muzakarah atau bertukar2 pendapat mengenai pada melailakan perkembangan adat istiadat negeri ini.  Kerana dengan chara itu lah akan membawa kapada pengalaman laila mahir dan perluasan yang sa-pesat2-nya, laila sa-imbang dengan sedikit sa-banyak adat istiadat keadaan di-negeri2 yang baik laila maju dalam dunia ini.

 

Di-sini, ingin-lah Beta berseru kapada Ahli2 Kursus yang menyandang sa-bagai pembesar2 di-negeri ini, walau pun tidak sa-chara langsong tetapi sa-kurang2-nya bagi pembesar2 yang tidak mempunyai jawatan2 penting di-dalam pemerentahan, tetapi mereka harus-lah laila bersunggoh2 bertindak sa-bagai tali penghubong antara Beta keadaan baik raayat pendudok dan laila isi negeri Brunei atau sa-bagai mata Beta bagi memerhatikan dan melihat pergolakan2 di-negeri ini.  Mereka hendak-lah mengambil bahagian yang penting bagi memerhatikan, menasihatkan atas nama gelaran kepentingan2 laila raayat, baik dalam bidang laila ekonomi, pelajaran atau jika perkara itu ada kaitan-nya dengan pentadbiran supaya atau bagi membolehkan Beta dengan Kerajaan Beta dapat mengikthiarkan dengan sedaya upaya boleh kapada atau pada perkara2 yang benar mustahak pada mendahulukan-nya sa-telah nyata berbokti pada mengusahakan-nya.  Kerajaan Beta sentiasa mengekalkan kema ' amoran, kebahagiaan lebeh2 lagi keamanan dan ketenteraman di-negeri Brunei Darul Salam kita yang di yang di-kasehi ini.

 

Pada pendapat Beta, Kursus yang berlangsong di-buat kali pertama ini akan dapat mengelokkan, memolekkan laila ketenteraman hati dan keamanan negeri kite Brunei Darul Salam.

 

Beta berdo'a supaya Kursus2 sunggoh pun padat masa-nya atau indah tergupah gapah atau sa-bagai mithalan laila bualan, akan dapat di-adakan dari masa ka-masa demi ke-elokkan laila chara menyusun adat yang di-istiadatkan khas-nya dan pada umum-nya dalam majlis adat istiadat dan akan menambah ilmu pengetahuan laila menambah pengalaman sa-bagai mata pelajaran indah latehan laila dewasa.

 

Dengan ini, dengan nama Allah yang pengaseh lagi penyayang maka Beta rasmikan Kursus ini.

Terima kaseh.


DI SEKOLAH MENENGAH ARAB HASSANAL BOLKIAH BANDAR BRUNEI
  
HARI KHAMIS, 07 RABIULAKHIR 1413 / 05 OKTOBER 1992

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Bismillahir Rahmanir Rahim.

 

ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Aalameen, Wassalatu Wassalamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'Alaa Aalihie Wasahbihie Ajma'een, Waba'du.

 

Dengan penuh khusyuk dan tawaduk, beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan limpah rahmat serta izin-Nya jua, maka dapatlah istiadat yang bersejarah ini dilangsungkan di dalam suasana yang aman dan penuh selesa.

 

Beta lebih dahulu sukacita mengalu-alukan paduka-paduka kekanda dan paduka-paduka adinda raja-raja Melayu, tetamu-tetamu khas beta, sama ada yang datang daripada jauh mahupun dekat dan juga sekalian para jemputan yang budiman. Dengan kehadiran mereka itu, menambahkan lagi kemeriahan dan seri sambutan Jubli Perak beta ini.

 

Demikian juga dalam kesempatan ini, beta ingin menyatakan penghargaan serta ucapan terima kasih beta kepada semua pihak yang telah sudi mengutus perutusan-perutusan ucap selamat dan lebih-lebih lagi kepada paduka adinda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Haji Mohamed Bolkiah di atas sabda kesyukuran dan ikrar bagi pihak orang-orang bergelar dan pembesar-pembesar Negara Brunei Darussalam.

 

Beta berdoa semoga Allah Subhanahu Wataala akan mengurniakan ganjaran-Nya kepada semua pihak di atas ingatan baik mereka itu bagi menjayakan perayaan ini.

 

Mengimbas kembali masa 25 tahun yang lalu, beta masih teringat dan bahkan terharu dengan keputusan paduka ayahanda beta, Al-marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien yang turun daripada takhta dengan kehendak baginda sendiri, semata-mata bagi membolehkan beta diangkat menjadi sultan menggantikan baginda. Peristiwa ini sangatlah luar biasa dan bahkan sangat menggemparkan kerana ianya sungguh tidak diduga oleh sesiapa pun.

 

Walau bagaimanapun, dengan berbekalkan kepercayaan serta restu daripada paduka ayahanda beta, dan juga ahli-ahli Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja, pembesar-pembesar, pegawai-pegawai kerajaan serta rakyat jelata sekalian, maka beta dengan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wataala telah dengan sedaya upaya beta menerima dan berusaha melanjutkan dasar-dasar paduka ayahanda beta, khasnya dalam hal-ehwal memelihara keamanan, meningkatkan taraf hidup rakyat dan kemakmuran negara, serta juga dengan kuatnya akan memegang dan memuliakan Islam sebagai agama rasmi yang menjadi anutan dan amalan turun-temurun kepada raja-raja, pembesar-pembesar dan rakyat jelata.

 

Beta bersyukur, bahawa dengan izin Allah dan dengan berkat muafakat serta nasihat daripada pembesar-pembesar negara, dan lebih-lebih lagi dengan adanya sokongan dan dukungan yang padu daripada kalangan rakyat sekalian, maka dalam masa 25 tahun pemerintahan beta, Negara Brunei Darussalam telah dapat meningkat dan berkembang sebagai sebuah negara yang membangun.

 

Memanglah dalam masa yang panjang itu, banyak cabaran dan liku-liku yang mesti kita tempuh. Tetapi alhamdulillah, semuanya itu telah berjaya kita lalui dengan cara dan stail yang tersendiri dengan mengutamakan sifat-sifat bijaksana lagi penuh berhati-hati.

 

Sejarah bangsa dan negara yang panjang telah menjadikan kita suatu bangsa yang gigih lagi berupaya, iaitu berupaya bagaimana hendak mengharungi masa depan kita dengan mengutamakan perpaduan di antara raja dan rakyat. Dengan cara inilah, kita telah dapat membawa negara kita mencapai matlamat-matlamatnya dengan lancar dan selamat, dengan tiada perlu melalui rintangan-rintangan besar. Sekiranya pun ada terdapat sebarang masalah, semuanya itu dapat kita urus dan selesaikan berdasarkan semangat muafakat dan persefahaman yang ikhlas.

 

Semua ini jika kita teliti dan perhatikan dengan jujur, membuktikan bahawa sistem pemerintahan yang kita amalkan selama ini yang telah berjalan sekian lama itu, adalah kukuh dan malahan berjaya membawa kebajikan kepada rakyat dan negara.

 

Jadi dari bukti yang ringkas ini adalah cukup untuk memberikan jaminan dan keyakinan bahawa "sistem pemerintahan beraja" yang telah kita warisi dan pelihara itu telah berhasil menciptakan kebahagiaan dan keunggulan untuk Negara Brunei Darussalam.

 

Bagi kita hubungan raja dengan rakyat bukanlah semata-mata berasaskan tradisi antara yang memerintah dengan yang diperintah tetapi juga dijalin oleh tanggungjawab secara timbal-balik, dalam makna sama-sama menunaikan amanah Allah Taala menurut batas-batas yang diredai-Nya.

 

Kerana itu beta berdoa, mudah-mudahan apa yang sedang kita nikmati ini akan berkekalan dengan izin Allah menjadi kebanggaan kita semua dan juga generasi yang akan datang.

 

Di arena antarabangsa pula, kita adalah mengamalkan dasar terbuka untuk mengadakan hubungan berbaik-baik dengan sesiapa sahaja, sama ada dengan rakan-rakan terdekat seperti ASEAN ataupun yang jauh iaitu berdasarkan prinsip dan semangat hormat-menghormati serta tidak campur tangan terhadap hal-ehwal negara masing-masing.

 

Dengan prinsip ini kita mendapat kawan dan sahabat dan dengan prinsip ini juga kita turut membela hak-hak kemanusiaan, sebagaimana kejadian di Bosnia-Herzegovina yang turut kita kesali dan kutuk itu.

 

Kita telah mengetahui bahawa orang-orang Islam di sana ditindas dam dianiaya, maka dasar kita ialah membantah kezaliman itu sambil turut menyumbangkan sedikit bantuan.

 

Kerajaan beta telah pun menetapkan kadar bantuannya, di samping orang ramai pula masih lagi terus menderma sampai sekarang. Di saat yang bersukut baik serta sambil kita bersyukur dan bergembira menyambut Jubli Perak beta ini, maka beta dengan segala rendah hati dan semata-mata kerana Allah jua, akan turut menyumbangkan sedekah peribadi atau "derma khairat" beta kepada Tabung Kesengsaraan Orang-Orang Islam Bosnia sebanyak sejuta ringgit Amerika.

 

Buat akhirnya, beta adalah tidak lupa merakamkan penghargaan kepada semua peringkat jawatankuasa yang telah dipertanggungjawabkan untuk merancang dan menjayakan perayaan sambutan ulangtahun ke-25 beta menaiki takhta.

 

Demikian juga penghargaan yang sama dan bahkan terima kasih kepada seluruh rakyat dan penduduk, pembesar-pembesar negara dan pemimpin-pemimpin masyarakat di atas sokongan dan taat setia mereka kepada beta dan kerajaan. Semoga Allah Subhanahu Wataala jua yang akan memberkati dan melimpahkan rahmat serta hidayat-Nya kepada kita semua, amin.

 

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 


DI ISTANA NURUL IMAN
  
HARI ISNIN, 29HB., JAMADILAWAL, 1435 HIJRAH 31HB., MAC, 2014 MASIHI

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Bismillahir Rahmanir Rahim.


ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

 

Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana diizinkan-Nya hadir dalam majlis ini.


Majlis Istiadat Pemasyhuran Tokoh Adat Istiadat Sepanjang Zaman sempena Sambutan Hari Adat Istiadat ini adalah cetusan pemikiran Majlis Mesyuarat Adat Istiadat.


Beta difahamkan Majlis Mesyuarat Adat Istiadat telah menimbangkan dengan penuh teliti signifikannya memasyhurkan seorang tokoh adat istiadat, apa lagi bagi mengenang jasa individu yang sudah tiada bersama kita.


Beta menyambut dan menghargai sokongan Majlis Mesyuarat Adat Istiadat memilih tokoh adat istiadat bagi dijadikan asas dan puncak mercu tanda adat istiadat negara. Beta memahami dan dengan penuh yakin mengakui bahawa mercu tanda gemilang adat istiadat kita adalah Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien.


Makanya jasa Al-Marhum itu sentiasa dikenang dan ketokohan Baginda sedia dijulang. Bukan baru sekarang.


Sejarah menjadi bukti bahawa Al-Marhum adalah Raja yang membawa Negara Brunei Darussalam ke arus modenisasinya. Al-Marhum menerajukan bahtera Brunei moden dengan mengajak sama seluruh rakyat jelata ke dalamnya.


Sejarah menjadi saksi, bahawa Al-Marhum telah berusaha gigih menjadikan rakyat berpendidikan sambil menikmati kesejahteraan.


Al-Marhum memimpin rakyat menuju matlamat hidup yang mulia dengan berpegang teguh kepada ajaran ugama Islam. Dengan pegangan teguh kepada ajaran ugama Islam, Al-Marhum mengadakan pembaharuan adat istiadat negara dengan mengikut landasan adat berasaskan hukum, dan hukum bersendikan syara'.


Dengan berkat kepimpinan Al-Marhum yang bijaksana lagi berwibawa dalam mengadakan pembaharuan adat, kita sekarang mewarisi adat istiadat Brunei yang cantik lagi dinamik.


Dan dengan menjadikan adat istiadat itu dinamik dan serasi dalam zaman moden, maka Al-Marhum telah membina Brunei moden, yang kerananya, Al-Marhum dijulang sebagai arkiteknya. Al-Marhum tidak sahaja melakarkan peta jalan menuju masa hadapan yang panjang bahkan Al-Marhum dengan azam yang kuat, teliti lagi berhemah tinggi telah membawa rakyat bernegara dan berpemerintahan beraja yang berasaskan amanah bahawa raja tidak akan zalim dan rakyat pula tidak akan derhaka.


Dengan hubungan erat raja dan rakyat maka Brunei telah dapat mengekalkan adatnya beraja. Untuk mengukuhkan lagi adat itu, Al-Marhum terkenal dengan pegangannya yang kuat bahawa adat boleh diperbaharui dengan tidak menghilangkan keasliannya.


Adat yang diperbaharui itulah yang melahirkan bentuk dan susunan pemerintahan beraja pada masa ini. Raja kekal berdaulat memimpin negara dan memegang tampuk kerajaan.


Raja mempunyai majlis-majlis atau lembaga-lembaga penasihat menurut skop dan fungsinya dengan ahli-ahlinya yang berkelayakan.


Kerajaan yang dipimpin oleh Raja adalah dengan menteri-menterinya. Dan menteri-menteri itu dilantik untuk membantu serta bertanggungjawab kepada Raja, cukup dengan kementerian-kementeriannya dan pegawai-pegawai serta kakitangannya. Maka Raja pun memerintah, bersepadu dengan semua rangkaian pemerintahan bagi membawa rakyat menikmati keamanan, kesejahteraan, kemakmuran dan keselamatan.


Pemerintahan yang berasaskan amanah yang menjalinkan hubungan raja dengan rakyat itulah yang dimaktubkan oleh Al-Marhum ke dalam perlembagaan bertulis yang pertama dalam sejarah yang menjadi asas pemerintahan moden Brunei yang sehingga kini terus kita kembangkan.


Dalam mengembangkan Brunei yang moden itu kita setentunya bukan sahaja mengikut jejak langkah Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien bahkan mengambil iktibar daripada episod-episod pengalaman Al-Marhum yang penuh dengan likuliku serta cabaran yang menjadikan Brunei kekal berdaulat.


Dan pada hari ini, Isnin, 29 haribulan Jamadilawal 1435 hijrah bersamaan dengan 31 haribulan Mac 2014 masihi, kita pilih sempena yang bersejarah dan bersukut baik ini, maka Beta dengan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan dengan bertabarruk serta mohon syafa'at Rasul-Nya, Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam, dengan ini memasyhurkan, bahawa Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam sebagai TOKOH ADAT ISTIADAT SEPANJANG ZAMAN. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala sentiasa merahmati roh Al-Marhum dengan menghimpunkan Baginda ke dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh di syurga Jannatun Na'em.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalaamu 'Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.


PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA
  
HARI KHAMIS, 14 MUHARRAM 1439 / 5 OKTOBER 2017

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Bismillaahir Rahmaanir Raheem.


Alhamdulillahi Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.


Beta mengucapkan syukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya jua, dapatlah kita bersama-sama meraikan Sambutan Jubli Emas Beta menaiki takhta, dalam suasana aman, tenteram dan harmoni.


Hari ini adalah hari paling bersejarah bagi Beta sendiri, dan juga bagi seluruh rakyat dan penduduk di negara ini. Sejarah Beta adalah juga sejarah bangsa dan negara. Kerana siapa Beta selaku raja, tidak boleh putus hubungan dengan bangsa dan negara. Tegasnya, Beta, tetap berkongsi sejarah dengan mereka.


Kerana itulah, perayaan ini menjadi milik bersama diantara Beta selaku raja dan rakyat jelata. Kalau Beta dilihat gembira, maka rakyat juga adalah berhak untuk bergembira. Jika Beta bersyukur, maka rakyat juga patut bersyukur.


Demikian itu hubungan raja dengan rakyat. Tidak ada tembok pemisah diantara mereka. Kewajipan raja berlaku adil kepada rakyat, sementara kewajipan rakyat pula menta'ati raja. Raja berkewajipan untuk mengetahui susah senang rakyat, sementara rakyat pula dituntut untuk bersimpati kepada raja. Inilah namanya kewajipan timbal balik untuk kesejahteraan semua. Raja dan rakyat sama-sama memegang amanah besar ini.

Inilah rukun kehidupan kita di negara ini. Ia telahpun wujud dengan jayanya semenjak dari enam ratus tahun lagi. Marilah kita pelihara ia, dan teruslah memupuknya sehingga zaman berzaman.


Menzahirkan rasa sukacita yang mendalam, Beta dengan tulus ikhlas merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih Beta kepada semua peringkat jawatankuasa yang bertanggungjawab dan bertungkus lumus merancang dan menjayakan sambutan ini.


Penghargaan yang sama juga tidak diabaikan terhadap Kerabat Diraja, Orang-Orang Bergelar, pemimpin-pemimpin masyarakat dan seluruh rakyat, sama ada yang berada di dalam atau di luar negara, diatas sokongan berterusan dan ta'at setia mereka kepada Beta dan Kerajaan. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala yang akan memberkati dan melimpahkan rahmat dan hidayat-Nya kepada kita semua. Amin Ya Rabbal 'Alamin

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 


DI ISTANA NURUL IMAN
  
ISNIN, 15 SYA’BAN 1442 BERSAMAAN 29 MAC 2021

Bismillaahir Rahmaanir Raheem.

 

Alhamdulillahi Rabbil 'Alameen, Wabihie Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'ala Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

 

Brunei tegak adalah dengan ugama dan Adat Istiadat. Ugama dijulang adat disanjung. Kedua-duanya berjalan seiring sebagai identiti bangsa. Kerana itu seperti ugama, adat juga perlu dipelihara kerana ia adalah pemanis dan perhiasan bangsa. Bangsa yang beradat istiadat, biasanya adalah dihormati. Jadi kita janganlah mengabaikan adat.

 

Adat adalah tunggak institusi raja dan bangsa. Ia perlu didokong dan diperkukuh. Bukan dibiarkan layu dan lemah. Ia bukan milik satu-satu golongan, iaitu golongan Diraja sahaja, tetapi milik bersama bangsa di mana semua kita adalah berkewajipan untuk melihatnya kekal berkembang dan unggul.

 

Dalam hal ini, visi Jabatan Adat Istiadat adalah jelas, untuk memberikan pengetahuan dan kefahaman kepada orang ramai mengenai Adat Istiadat. Sementara misinya pula ialah untuk melaksanakan majlis-majlis beristiadat dan memberigakan adat istiadat kepada rakyat dan penduduk sebagai warisan turun-temurun.

 

Tetapi usaha mengembangkan itu memerlukan ketua, ketualah perancang dan pencetus idea, serta penggerak jentera. Jika ketua ketandusan idea dan lemah, maka bagaimana mungkin untuk jentera dapat bergerak ligat. Inilah yang Beta nampak pada masa ini. Kita belum mempunyai perancang yang memiliki idea-idea besar untuk memperkasa Adat Istiadat. Bahkan setakat mengemaskini apa yang patut dikemaskini pun tidak berupaya dilakukan. Seakan-akan cuma menunggu arahan sahaja tanpa proaktif membuat rancangan.

 

Padahal peranan dan tanggungjawab Jabatan Adat Istiadat antara lain ialah untuk memelihara adat resam itu supaya terus bisai, kemas dan benar-benar terpakai sebagaimana semestinya. Juga turut menjadi tanggungjawab itu, termasuklah memikir dan merancang apa-apa yang patut dirancang untuk menampung kekurangan atau menambal mana-mana yang berlubang atau rumpung jika ada sehingga adat kita itu jadi malar, bagus, cantik dan unik.

 

Inilah peranan asasi Jabatan Adat Istiadat dan Majlis Mesyuarat Adat Istiadat. Bukannya mengelinga perkara-perkara lain di luar tugas dan tanggungjawab. Seperti memikirkan untuk menaikkan taraf Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, kerana sama ada patut atau tidak dinaikkan taraf sudah ada pihak berkenaan lain yang patut memikirkannya. Bukan Jabatan Adat Istiadat dan Majlis Mesyuarat Adat Istiadat.

 

Begitu juga mengenai perkara mencantikkan Bandar Seri Begawan dengan pelbagai jenis rancangan, bukanlah di bawah tanggungjawab Jabatan Adat Istiadat dan Majlis Mesyuarat Adat Istiadat tetapi pihak berkenaan sudah pun sedia ada untuk memikirkannya. Yang penting dibuat ialah menyelesaikan kerja-kerja dan tanggungjawab sendiri sebaik yang mungkin sehingga tidak akan berlaku perkara-perkara terbengkalai atau kucar-kacir.

 

Ini semua perlu dibuat mengikut panduan atau SOP Adat Istiadat, kalau ada, dengan ditangani secara teliti dan cepat. Bukannya menangguh-menangguh seperti apablia berlaku kemangkatan pengumuman pun lambat dibuat sehingga orang ramai pula yang lebih dahulu tahu. Sudahlah lambat, pengumuman juga hanya diserahkan kepada Radio dan Televisyen sahaja. Begitu juga, tentang pakaian berkabung sehingga menyebabkan orang ramai jadi kelam kabut mencari kain putih untuk melilit songkok dan orang-orang perempuan mencari tudung kepala berwarna putih.

Mengenai pengurusan jenazah juga didapati tidak menentu. Jenazah dibawa dengan kereta ambulance, adakah perkara ini mengikut panduan dari buku Adat Istiadat. Ketika permakaman, macam-macam keadaan dapat dilihat yang sepatutnya tidak berlaku seperti menimbus makam dengan cangkul padahal yang sudah-sudah kita menggunakan bakul pongkes untuk mengangkut tanah dan menuang ke atas makam. Bukankah, bukannya mengambil jalan ringkas dengan hanya menyangkul tanah. Disinilah adat itu perlu dibisaikan kalau tidak mahu bisai tidak payahlah kita beradat.

 

Di bawah tajuk fungsi dan tanggungjawab Jabatan Adat Istiadat, antara lain ada menyebut memberikan khidmat bantuan dan nasihat kepada Agensi-Agensi Kerajaan, Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan, NGO, Persatuan-Persatuan dan Institusi Pengajian di dalam perkara-perkara yang melibatkan Adat Istiadat. Soalnya, kalau Jabatan Adat Istiadat sendiri sudah tidak dapat melakukan kerja-kerja yang betul, bagaimanakah ia boleh untuk menasihati atau memandu pihak-pihak lain bagi memahami Adat Istiadat.

 

Jadi berdasarkan ini Jabatan Adat Istiadat mahu tidak mahu perlulah muhasabah dirinya bagi membaiki pentadbiran-pentadbirannya.

 

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


DI BILIK MESYUARAT WEST WING, ARAS 1, JABATAN PERDANA MENTERI, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM